Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 31 Mei. - Penggunaan tembakau dan nikotin kekal merupakan antara ancaman terbesar kepada kesihatan awam di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lapan juta nyawa terkorban setiap tahun akibat penggunaan tembakau dan lebih satu juta nyawa terkorban akibat pendedahan kepada asap rokok.
Walaupun kesedaran mengenai bahaya merokok semakin meningkat, industri tembakau dan nikotin terus mencari pelbagai cara baharu untuk menarik pengguna, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Oleh itu, Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026 membawa tema 'Mendedahkan Daya Tarikan : Menangani Ketagihan Nikotin dan Tembakau (Unmasking the Appeal: Countering Nicotine and Tobacco Addiction)'.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026.
Jelas Yang Berhormat lagi, tema berkenaan memberi tumpuan kepada usaha untuk mendedahkan taktik licik industri tembakau dan nikotin dalam menjadikan produk mereka kelihatan menarik, moden dan seolah-olah tidak memudaratkan, khususnya kepada golongan belia termasuk kanak-kanak dan remaja.
Tambah Yang Berhormat, pada masa kini, industri berkenaan bukan sahaja memasarkan rokok tradisional, malah turut mempromosi produk-produk baharu seperti rokok elektronik (vape), kantung nikotin (nicotine pouches) dan produk nikotin sintetik (synthetic nicotine).
"Produk-produk ini sering kali direka dengan pembungkusan yang berwarna-warni, perisa manis seperti buah-buahan atau gula-gula, serta reka bentuk moden yang menyerupai alat teknologi atau barangan harian.
"Taktik sedemikian boleh menyebabkan golongan belia termasuk kanak-kanak dan remaja tertarik untuk mencuba tanpa memahami risiko sebenar ketagihan nikotin terhadap kesihatan mereka," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan media sosial, platform digital dan platform permainan dalam talian (gaming platform) kini menjadi antara medium utama pemasaran produk-produk tersebut. Kandungan promosi yang menggunakan individu-individu yang berpengaruh (influencer), video pendek, gaya hidup moden dan budaya popular telah menyebabkan penggunaan produk nikotin semakin dinormalisasikan dalam kalangan generasi muda.
Penempatan produk secara tersirat dalam kandungan hiburan dan media digital juga ujar Yang Berhormat lagi memainkan peranan dalam mempengaruhi persepsi bahawa penggunaan rokok elektronik dan produk nikotin adalah sesuatu yang biasa dan selamat, sedangkan hakikatnya nikotin tetap merupakan bahan yang menyebabkan ketagihan.
Di Negara Brunei Darussalam (NBD) tegas Yang Berhormat lagi, walaupun penjualan rokok elektronik adalah ditegah dan negara kita tidak mempunyai pengedar tembakau berlesen, kita tidak boleh leka terhadap cabaran semasa. Produk-produk nikotin masih boleh diperoleh melalui penjualan secara dalam talian, media sosial, penyeludupan dari luar negara serta perkongsian sesama rakan sebaya.
"Ini menunjukkan bahawa cabaran masa kini turut berpunca daripada pengaruh digital dan normalisasi sosial yang menyebabkan penggunaan produk nikotin semakin dianggap sebagai sesuatu yang lazim dan diterima masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan muda yang lebih mudah terpengaruh dengan perkembangan dan persekitaran semasa.
"Hasil dapatan Kaji Selidik Global School Health (GSHS) 2019 menunjukkan kadar merokok dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun adalah 9.8 peratus, manakala penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 15 tahun adalah 13.3 peratus.
"Lebih membimbangkan, apabila dibandingkan dengan dapatan Kaji Selidik STEPS 2022/2023 bagi golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, kadar perokok adalah 13.4 peratus manakala penggunaan rokok elektronik adalah 11 peratus. Keadaan ini menunjukkan bahawa penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja adalah lebih tinggi berbanding golongan dewasa," kata Yang Berhormat lagi.
Dalam perutusan berkenaan, Yang Berhormat juga berkata keadaan berkenaan jelas bercanggah dengan dakwaan industri bahawa rokok elektronik diperkenalkan sebagai alat membantu perokok dewasa untuk berhenti merokok, sedangkan hakikatnya, produk-produk berkenaan turut menjadi daya tarikan yang mendorong generasi muda ke arah ketagihan nikotin.
Statistik berkenaan tambah Yang Berhormat amat membimbangkan kerana nikotin bukanlah bahan biasa, malahan ia adalah sejenis dadah yang mempunyai potensi untuk menyebabkan ketagihan yang tinggi serta boleh memberi kesan serius terhadap perkembangan otak kanak-kanak dan remaja.
Pendedahan pada usia muda kata Yang Berhormat lagi bukan sahaja menjejaskan fungsi emosi dan kognitif seperti pembelajaran, tumpuan dan kawalan emosi, malah turut meningkatkan risiko ketagihan terhadap bahan ketagihan lain yang lebih berat. Manakala, individu yang terdedah kepada nikotin sejak usia muda juga lebih cenderung mengalami ketagihan yang lebih serius serta sukar untuk berhenti.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan kajian turut menunjukkan bahawa pendedahan berkenaan dikaitkan dengan gangguan emosi dan perasaan, termasuk kemurungan dan keresahan. Lebih membimbangkan lagi, berdasarkan kepada beberapa kajian, generasi muda yang tidak pernah merokok tetapi mula menggunakan rokok elektronik didapati mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi untuk menjadi perokok tegar.
Di samping itu kata Yang Berhormat lagi, dunia kini turut berdepan dengan ancaman baharu yang semakin membimbangkan, iaitu penggunaan rokok elektronik yang di campur dengan bahan-bahan terlarang dan dadah berbahaya. Penggunaan rokok elektronik yang mengandungi bahan psikoaktif dan dadah sintetik bukan sahaja meningkatkan risiko ketagihan yang serius, malah boleh menyebabkan kesan kesihatan yang serius termasuk halusinasi, gangguan mental, sawan, hilang kesedaran, kemurungan, paranoia, psikosis, tingkah laku yang agresif, terlebih dos dan juga kematian.
Lebih membimbangkan lagi ujar Yang Berhormat, penggunaan rokok elektronik yang mengandungi bahan terlarang dan dadah bukan sahaja membahayakan nyawa, malah merupakan satu kesalahan jenayah serius di bawah undang-undang negara. Ancaman berkenaan jelas menunjukkan bahawa penggunaan rokok elektronik bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan, khususnya dalam kalangan golongan muda yang lebih mudah terpengaruh dan terdorong untuk mencuba tanpa menyedari risiko sebenar terhadap kesihatan dan keselamatan diri mereka.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menjelaskan usaha melindungi generasi muda daripada pengaruh industri tembakau dan nikotin berkenaan memerlukan penglibatan semua pihak. Ibu bapa, institusi pendidikan, agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan masyarakat perlu bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran mengenai bahaya produk-produk tembakau dan nikotin berkenaan serta memperkukuh pendidikan kesihatan sejak usia muda.
Pada masa yang sama kata Yang Berhormat, sokongan terhadap dasar dan langkah kawalan yang berasaskan bukti juga amat penting bagi mengurangkan daya tarikan dan akses kepada produk-produk berbahaya ini.
"Justeru itu, saya juga ingin menyeru para belia dan remaja di negara ini agar tidak mudah terpedaya dengan taktik pemasaran industri tembakau dan nikotin ini yang menjadikan ketagihan sebagai keuntungan perniagaan mereka. Jangan biarkan masa depan dan kesihatan diri dipengaruhi oleh produk yang memudaratkan.
"Generasi muda perlu memainkan peranan penting dalam menghapuskan normalisasi penggunaan produk tembakau dan nikotin serta menjadi contoh kepada rakan sebaya untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Bagi mereka yang ingin berhenti merokok atau berhenti menggunakan produk nikotin seperti rokok elektronik (vape), Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan terus menyediakan perkhidmatan bantuan untuk berhenti melalui Klinik Berhenti Merokok (KBM) di Pusat Pusat Kesihatan seluruh negara.
"Khidmat kaunseling, sokongan profesional serta bantuan farmakoterapi seperti alat gantian nikotin (Nicotine Replacement Therapy-NRT) kepada yang memerlukan boleh membantu individu untuk berhenti dan seterusnya meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka.
"Dalam kesempatan ini, bersempena dengan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026, saya amat mengalu-alukan kerjasama dan sokongan dari semua pihak untuk bersama-sama memperkukuh komitmen dalam melindungi generasi masa depan daripada bahaya tembakau dan nikotin. Marilah kita berganding bahu membina sebuah masyarakat yang lebih sihat, selamat dan bebas daripada ketagihan tembakau dan nikotin demi kesejahteraan negara dan generasi akan datang," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusanya.